PERTIWI Daerah Belait anjur Projek Jualan Amal Menjelang Hari Raya




Berita dan Foto : Noraisah Mohamed

 





SERIA, Ahad, 22 Februari. - Projek Jualan Amal Menjelang Hari Raya yang diadakan oleh Persatuan PERTIWI setiap tahun telah banyak membantu kaum wanita terutama dalam kalangan ahli-ahli persatuan meningkatkan pendapatan sampingan.


Sehubungan itu, persatuan berkenaan melancarkan Projek Tradisi Jualan Amal Menjelang Hari Raya yang bertema 'Membeli Sambil Menderma' buat kali ke-40 sejak diadakan tahun 1986.


Hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan projek berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad.


Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat.


Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran rombongan dari Majlis Perundingan Mukim (MPM) Serasa diketuai oleh Penghulu Mukim Serasa, Awang Saiful Adli bin Ali Hassan dan Timbalan Pengerusi MPM Serasa bersama 33 orang Ahli Jawatankuasa Tertinggi, ketua biro, ahli dan penduduk mukim Serasa.


Majlis berlangsung di Dewan Pejabat Daerah Seria dan dipengerusikan oleh Pengerusi Persatuan PERTIWI Daerah Belait, Dayang Fatimah binti Tanji.


Antara ahli-ahli yang menyertai projek tradisi terdiri dari kalangan remaja, suri rumah tangga dan ibu tunggal dari kalangan ahli Persatuan PERTIWI sendiri.


Penyertaan disyaratkan untuk mengambil kira segala syarat seperti pemeriksaan kesihatan, penggunaan bahan-bahan yang berkualiti dalam pembuatan kuih-muih yang berbentuk biskut, kek dan sebagainya untuk keperluan orang ramai menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah menjalani ibadah puasa.


Sebanyak 24 petak jualan kuih-muih disediakan mengikut jarak yang ditetapkan.


Orang ramai boleh membuat pilihan membeli kuih-muih yang lebih berkualiti dan trend terkini.


Antara jenis jualan yang dijual seperti beraneka biskut, kek lama dan terkini, acar, dodol serta gubahan bunga bagi memeriahkan lagi persediaan menjelang Hari Raya Aidilfitri. 


Sementara di bahagian luar bangunan juga diadakan jualan persediaan berbuka puasa dan jualan barang terpakai selain menyediakan sumbangan sedekah barang terpakai yang masih boleh digunakan bagi yang memerlukan, setiap yang berhajat boleh mengambil satu plastik seorang.


Jualan amal ini diungkayahkan dalam usaha memberi pilihan kepada orang ramai membuat persiapan menjelang Hari Raya lebih awal selain mendapat sambutan dari orang ramai yang berbilang bangsa dan sangat mengalakkan.


Perniagaan beroperasi bermula dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam sepanjang bulan Ramadan bermula hari ini hingga hari penglihatan anak bulan Syawal.


Dalam melaksanakan jualan amal, setiap ahli juga diberi saranan dari Jawatankuasa Penyelaras Jualan untuk menjaga baik semua bahan-bahan yang digunakan halal dan bahan-bahan yang sesuai untuk pembuatan biskut, kek dan sebagainya termasuk harga jualan yang berpatutan, mampu milik pelanggan.


Persatuan PERTIWI berbesar hati atas kunjungan orang ramai sebagai pelanggan tetap membeli kuih raya dengan tidak secara langsung mereka juga turut menderma.


Dengan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Daerah, Jabatan Bandaran, Jabatan Belia dan Sukan dan jabatan lain-lain telah memudahkan NGO melaksanakan program kegiatan yang ada di daerah ini.


Hadir sama, Penghulu-penghulu, Ketua-ketua Kampung, pegawai-pegawai kerajaan, wakil-wakil Majlis Perundingan Kampung serta biro wanita, wakil-wakil persatuan, wakil-wakil persatuan khususnya di Daerah Belait.


Close